Noor Hidayah Tanzizi

Bota: "Alhamdulillah, kami sangat gembira dan bersyukur apabila impian untuk memiliki rumah yang lebih selamat dan selesa tercapai, namun agak sedih juga kerana arwah ayah tak sempat merasainya," kata Ruziah Sallehuddin.

Ruziah, 17, bersama ibu, Ramlah Mat Nayan, 55, dan adiknya, Muhamad Mazlan, 14, bersyukur apabila terpilih di antara penerima program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Ruziah berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di rumah pusaka keluarga arwah bapanya yang terlalu usang dengan lantai dan dinding papan kayu sudah reput serta ada sebahagian dinding terbuka selain bumbung juga bocor.

"Saya tak sangka akhirnya kami dapat tinggal di rumah yang jauh lebih selesa. Jika arwah ayah masih ada mesti dia gembira kerana ini juga adalah impiannya, malah ayah juga berusaha mendapatkan bantuan sebelum ini.

"Selepas ini tidur malam kami lebih lena, sudah tiada rasa takut dan tak perlu tutup dinding yang terbuka dengan kain lagi, kalau ribut rumah juga tidak bergoyang lagi," katanya ketika ditemui di rumah baharu mereka di Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan, di sini.

Dua beranak berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran menerima kunci rumah yang disampaikan Khairul Shahril dan Pengurus Besar TNB Perak Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin.

Sementara itu, Ramlah berkata, dia gembira dan berterima kasih kepada TNB dan semua pihak termasuk Khairul Shahril yang merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

"Terima kasih kepada semua yang membantu, saya seronok sangat dan berdebar-debar nak pindah rumah baharu. Di sini keselamatan lebih terjamin dan ular juga tidak mudah masuk ke dalam rumah seperti di rumah lama," katanya.

Khairul Shahril berkata, selain Ramlah seorang lagi penerima bantuan rumah berkenaan, Syed Hassan Syed Osman, 52, dari Kampung Seri Kaya yang rumahnya musnah terbakar serta berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban dua keluarga yang kurang berkemampuan itu.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, dua rumah berkenaan antara 21 rumah yang dibina pihaknya melalui projek Baiti Jannati TNB untuk tahun lalu dengan ada yang sudah diserahkan kepada pihak penerima dan ada yang masih dalam pembinaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, keresahan tiga beranak berkenaan yang tidur malam mereka tidak lena kerana bimbangkan keselamatan diri memandangkan struktur rumah yang daif dengan dinding reput dan rosak teruk berakhir apabila bakal memiliki rumah baharu yang lebih selesa di bawah program berkenaan.

Kehidupan mereka semakin sukar hingga Ramlah membanting tulang mengambil upah membuat kerja kampung dan mencuci rumah orang selepas kematian suami, Sallehuddin Mat Nasib, 60-an pada 2019 selepas urat kakinya putus terkena sabit ketika mengambil kelapa di atas pokok.

KHAIRUL Shahril (dua kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Ramlah di Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
KHAIRUL Shahril (dua kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Ramlah di Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 10:47 AM