Amirul Azizan (dua dari kiri) dan Ir Sivanas (tiga dari kiri) beramah mesra bersama Zaleha (tiga dari kanan) dan ahli keluarganya. FOTO Asyraf Hamzah
Amirul Azizan (dua dari kiri) dan Ir Sivanas (tiga dari kiri) beramah mesra bersama Zaleha (tiga dari kanan) dan ahli keluarganya. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik


IMPIAN warga emas menduduki kediaman lebih selesa tercapai walaupun dia hanya sempat menikmati pengalaman manis itu 15 hari sebelum kematiannya akibat serangan jantung, 11 Ogos lalu.

Balunya, Zaleha Hashim, 67, berkata, dia dan arwah suami Mohamad Salleh Mohamed, 72, menetap di sebuah kediaman uzur di Taman Batu Caves sejak 10 tahun lalu selepas berpindah dari Raub, Pahang.

“Kami tinggal dalam keadaan tidak selesa kerana atap bocor, pendawaian tidak teratur dan kerap diganggu haiwan perosak seperti tikus.

“Apabila rumah ini siap diubah suai, pak cik adalah orang paling gembira malah dia sempat berpesan duduk dan jaga rumah ini elok-elok seolah-olah dia sudah tahu hendak pergi.

“Mak cik reda malah tidak terkilan sekurang-kurangnya arwah sempat duduk rumah selesa ini walaupun hanya 15 hari. Bacaan tahlil pun kami buat di sini sebagai kenangan terakhir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati (PBJ) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kediamannya itu hari ini.

Hadir merasmikan majlis berkenaan, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Gombak Datuk Amirul Azizan Abd Rahim serta Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Kuala Lumpur, Bahagian Peruncitan TNB Ir A Sivanas.

Terdahulu suasana majlis bertukar hiba apabila Zaleha yang memberikan ucapan penghargaan mengalirkan air mata berikutan sebak terkenangkan arwah suaminya.

“Mak cik tak sangka dapat rezeki ini tetapi malangnya pak cik sudah tiada.

“Mak cik sedih sebab teringat pak cik kerana inilah impian kami bersama selepas lebih 40 tahun hidup bersama.

“Tapi apapun mak cik ucap terima kasih banyak-banyak kepada TNB dan pihak berkaitan kerana sudi bantu menjadikan impian kami duduk rumah selesa satu kenyataan,” kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu, Sivanas berkata, kerja membaik pulih kerosakan kediaman uzur berkenaan siap sepenuhnya pertengahan Julai lalu dengan kos RM50,000.

“Kita berharap rumah ini bakal membuka lembaran baru kehidupan keluarga ini yang selama ini menetap dalam rumah tidak selesa dan terlalu uzur,” katanya.

Katanya, sejak 2007 seramai 703 penerima mendapat manfaat di seluruh Semenanjung membabitkan nilai peruntukan RM30.46 juta.

“Untuk tahun ini saja, TNB Kuala Lumpur memperuntukkan RM3 juta bagi membina dua rumah di atas tanah dan 60 rumah golongan asnaf yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Projek ini satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB selaras dengan saranan kerajaan yang mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TNB memainkan peranan membantu dalam baik pulih rumah golongan sasaran seperti miskin, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 2:22 PM