LELAKI yang diselamatkan bot nelayan tempatan sebelum diserah kepada APMM. FOTO Ihsan APMM
LELAKI yang diselamatkan bot nelayan tempatan sebelum diserah kepada APMM. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Seorang lelaki diselamatkan nelayan selepas bertindak terjun ke laut dari atas Jambatan Pulau Pinang, di Kilometer 3.4 arah Perai menghala ke Georgetown, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 31 tahun dari Gelugor terbabit ditemukan nelayan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.45 petang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejurus menerima panggilan.

"Ketika di lokasi, didapati individu itu sudah diselamatkan oleh bot melayan tempatan sebelum diserah kepada APMM dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa turut meninggalkan kenderaan Perodua Alza serta barangan peribadi di atas jambatan berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.

Katanya, maklumat yang diterima daripada pihak hospital mendapati mangsa kini dirawat dan dalam keadaan stabil.

"Ia adalah kejadian yang kedua dalam bulan ini dengan kes pertama berlaku pada minggu lalu dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

"APMM memandang serius kes sebegini dan menasihati orang awam supaya tidak sesekali mengambil tindakan melulu dengan menganggap membunuh diri itu adalah sebagai cara penyelesaian masalah," katanya.

Orang awam yang yang mempunyai maklumat atau kecemasan di laut boleh menyalurkan kepada pihak Maritim Malaysia di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Pada 22 November lalu, Harian Metro melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, di sini, dan masih belum ditemui.

Mangsa dari Kuala Lumpur itu turut meninggalkan kereta dan barangan peribadi di atas jambatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 11:15 PM