ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari JSAHMS. FOTO ihsan Maritim Malaysia
ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari JSAHMS. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, di sini, hari ini.

Mangsa, 39, dari Kuala Lumpur turut meninggalkan kereta dan barangan peribadi di jambatan berkenaan.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian dari Pusat Kawalan Trafik jambatan kedua itu pada jam 4.40 pagi sebelum menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat).

Katanya, operasi turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pada masa ini, keluasan pencarian adalah sejauh 22.42 batu nautika persegi.

"Mangsa didapati meninggalkan kereta jenis Toyota Prius serta barangan peribadi di jambatan berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, setakat ini Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) sudah ditubuhkan berhampiran jambatan kedua dan gerakan mencari masih diteruskan.

"Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah bagi menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan terburu-buru," katanya lagi.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau kecemasan di laut boleh menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:58 AM