PATI yang ditahan polis di Kampung Sungai Terap, semalam. FOTO IHSAN POLIS
PATI yang ditahan polis di Kampung Sungai Terap, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Seramai 76 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Sungai Terap, dekat sini, terkedu apabila ditahan polis, semalam.

Difahamkan, semua warga asing berusia 23 hingga 43 tahun itu baru masuk ke negara ini dengan menaiki bot dari Batu Bara dan Tanjung Balai, Indonesia.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya mengesan sebuah kereta mencurigakan di stesen minyak di Batu 8, di sini, pada 4 pagi.

"Hasil pemeriksaan, kami menahan dua lelaki warga asing dipercayai tekong darat dan tiga lelaki warga asing berusia antara 34 hingga 37 tahun yang berada di dalam kereta itu.

"Siasatan lanjut membawa kepada serbuan dan penahanan 76 lagi Pati di sebuah rumah di Kampung Sungai Terap.

"Semua 81 Pati terbabit didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan memasuki Malaysia menerusi laluan laut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki tekong bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mereka merampas merampas dua kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM3,439 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM52,274.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Tanjong Karang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1963.

"Semua Pati ditahan itu dipercayai membayar wang RM1,000 hingga RM1,700 seorang untuk menyusup ke negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 4:24 PM