Seramai 52 Pati ditahan pihak berkuasa dalam rondaan Op Benteng Covid di perairan laut Tanjong Karang, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Seramai 52 Pati ditahan pihak berkuasa dalam rondaan Op Benteng Covid di perairan laut Tanjong Karang, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Nasib seorang tekong bot yang terjun ke laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana membawa 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Tanjong Karang di sini, semalam tidak diketahui.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pada kejadian jam 10 malam itu, suspek berusia 40-an yang juga warga Indonesia gagal dikesan akibat cuaca gelap.

"Kami sedang menjalankan rondaan Op Benteng sebelum mengesan bot terbabit pada jarak kira-kira 10 batu nautika dari pantai Tanjong Karang.

"Operasi dibantu bot ronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot Penggalang 41 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Sebaik pihak berkuasa tiba, tekong bot terbabit terjun ke laut," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui 52 warga asing membabitkan 24 lelaki, 27 perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hingga 45 tahun.

"Susulan itu, tiga kru bot dan kesemua warga asing terbabit dibawa ke Pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 9:21 PM