PATI yang ditahan PGA Semenyih bersama Rela. FOTO ihsan PGA
PATI yang ditahan PGA Semenyih bersama Rela. FOTO ihsan PGA
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat dengan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) antara ditahan pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bersama Rela di Jalan Banting - Sepang, Morib, di sini, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, suspek yang berumur 58 tahun itu ditahan bersama dua lagi tekong darat warga asing dan 13 Pati dalam operasi kira-kira 6 pagi semalam.

"Semasa membuat rondaan dan pemantauan di Morib, kita menahan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga asing bersama dua kenderaan.

"Siasatan mendapati tiga lelaki terbabit mengaku bertindak sebagai tekong darat bagi membawa Pati untuk dihantar ke Desa Petaling.

"Hasil pemeriksaan polis menahan enam lelaki dan tujuh wanita warga asing berumur antara 25 hingga 53 tahun yang bersembunyi di kawasan semak," katanya dalam satu kenyataan.

Rizal berkata, kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

"Kesemua Pati masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot," katanya.

Beliau berkata, suspek warga tempatan yang pertama kali menjadi tekong darat itu menjalankan aktiviti terbabit secara separuh masa.

"Suspek menerima upah RM50 bagi setiap Pati yang dibawa ke lokasi," katanya.

Katanya, dalam operasi itu polis turut merampas dua kenderaan dan tiga unit telefon bimbit dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM53,500.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 10:31 AM