SEBAHAGIAN daripada 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, awal pagi tadi.  FOTO ihsan POLIS
SEBAHAGIAN daripada 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, awal pagi tadi. FOTO ihsan POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Cubaan 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia menyusup masuk ke negara ini secara haram mengundang padah apabila ditahan polis di dalam lori di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, dekat sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pasukan anggota Balai Polis Tanjong Karang menahan semua individu terbabit ketika menjalankan tugas ronda cegah jenayah pada 2 pagi.

"Kami menahan 34 lelaki dan lapan wanita yang berusia lingkungan 40-an.

"Hasil siasatan mendapati semua Pati terbabit baru mendarat dengan mengikut jalan tidak diwartakan," katanya ketika dihubungi.

Ramli berkata, ketika serbuan itu, Pati terbabit sudah menaiki sebuah lori disyaki berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori itu sempat melarikan diri dan pihaknya merampas kenderaan terbabit.

Menurutnya, semua Pati itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:52 PM