Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 16 hingga 51 tahun ditahan polis di kawasan semak berdekatan Jalan Kampung Sungai Janggut, Jeram, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 16 hingga 51 tahun ditahan polis di kawasan semak berdekatan Jalan Kampung Sungai Janggut, Jeram, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Tamakkan ganjaran berlipat kali ganda, seorang kontraktor sanggup mengambil risiko dengan menjadi tekong darat untuk membawa masuk 60 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Malah, lelaki 37 tahun itu dikatakan menerima upah RM300 bagi setiap Pati yang berjaya masuk.

Bagaimanapun, kegiatannya tumpas apabila dia dan 60 Pati itu ditahan dalam Op Benteng Covid oleh pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA 4) Semenyih di kawasan semak berdekatan Jalan Kampung Sungai Janggut, Jeram semalam.

Pegawai Pemerintah PGA 4 Superintendan Rizal Mohamed berkata, pasukannya yang melakukan rondaan bersama anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor mengesan pergerakan mencurigakan suspek dengan sebuah pacuan empat roda pada 5 pagi.

"Dia ditahan dan pemeriksaan lanjut kemudian menemui 38 lelaki dan 22 wanita warga asing berusia 16 hingga 51 tahun.

"Semua warga asing itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan mereka dipercayai memasuki negara menerusi laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut.

"Justeru kita turut merampas pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dua telefon bimbit dan sejumlah wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan RM61,400," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rizal berkata, suspek sebelum ini merupakan pembekal tenaga kerja bagi sektor perladangan, perkilangan dan perkhidmatan yang sah, namun mula menjadi tekong darat selepas pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Lelaki itu membawa masuk Pati secara haram dan keuntungan yang diterimanya lebih besar berbanding pekerjaan yang dilakukannya sebelum ini," katanya.

Menurutnya, semua rampasan dan tahanan dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 4:13 PM