ANGGOTA JIM menahan warga asing dalam serbuan operasi pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar kawasan Cyberjaya dan Puchong, malam tadi. FOTO Ihsan JIM
ANGGOTA JIM menahan warga asing dalam serbuan operasi pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar kawasan Cyberjaya dan Puchong, malam tadi. FOTO Ihsan JIM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan agresif warga Afrika bagi mengelak dicekup menyebabkan seorang anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cedera ketika serbuan operasi pendatang asing tanpa izin (Pati), malam tadi.

Serbuan bermula jam 9 malam di sekitar kawasan Cyberjaya dan Puchong itu dilakukan susulan aduan penduduk tempatan yang kurang selesa dengan masalah sosial ditimbulkan warga asing terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi membabitkan kekuatan 30 pegawai dan anggota dijalankan di kawasan tumpuan warga asing.

"Seramai 25 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, lapan Pati ditahan yang terdiri daripada tujuh lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan berusia antara 24 hingga 35 tahun.

"Ketika serbuan itu, ada anggota tercedera selepas terbabit dalam pergelutan dengan pendatang asing yang enggan bekerjasama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua ditahan dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih di sini, untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:06 PM