SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Malaysia
SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Malaysia
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 1,368 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara, semalam.

Serbuan 6.30 pagi itu dilakukan 1,136 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dari JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kawasan itu menjadi tumpuan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong.

"Seramai 7,551 warga asing diperiksa dalam serbuan ini dengan 1,368 daripadanya dibawa untuk proses dokumentasi di pejabat JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Semua tahanan ini yang terdiri daripada 1,009 lelaki, 261 wanita dan 98 kanak-kanak membabitkan 421 dari Indonesia , India (54), Pakistan (6), Myanmar (790), Bangladesh (78) dan selebihnya lain-lain warganegara," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, semua warga asing diperiksa dan Pati ditahan sudah disahkan negatif Covid-19 oleh KKM.

"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas atau permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

"Semua Pati ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Menurutnya, semua Pati akan diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:27 PM