ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan di penempatan warga asing di kawasan PKPD Selayang Baru, semalam. FOTO ihsan JIM
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan di penempatan warga asing di kawasan PKPD Selayang Baru, semalam. FOTO ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 113 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di penempatan warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 9 pagi itu, seramai 210 pegawai Imigresen dibantu 75 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 25 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 16 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 10 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lapan anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan tiga kakitangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melakukan serbuan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kawasan itu menjadi tumpuan tempat tinggal warga asing yang kebanyakan terdiri etnik Rohingya yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bekerja di kawasan pasar borong Selayang.

"Seramai 1,683 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 113 PATI ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di JIM Kuala Lumpur, Jalan Duta.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 63 warga Indonesia, Myanmar (22), India (19), Bangladesh (6), Pakistan (2) dan Nepal (1) membabitkan 66 lelaki, 36 wanita serta 11 kanak-kanak," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, semua warga asing yang diperiksa disahkan negatif Covid-19 oleh KKM.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih

masa, memiliki dokumen pas atau permit palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

"Semua PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang

dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966

dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Mereka semua akan diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 7:15 PM