Pulau Batu Puteh
Pulau Batu Puteh
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia dan Singapura kekal komited untuk menyelesaikan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara, termasuk pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan akhbar bersama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan selepas Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) bermesyuarat secara maya pada Selasa untuk meneruskan perbincangan mengenai kedaulatan ke atas tiga pulau itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat kesembilan itu mengesahkan Terma Rujukan (TOR) untuk Jawatankuasa Kecil Mengenai Persempadanan Maritim Pulau Batu Putih (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) dan Jawatankuasa Kecil sepakat meneruskan tugas berdasarkan TOR.

Mesyuarat itu turut bersetuju bahawa Mesyuarat MSJTC ke-10 akan dihoskan Malaysia tahun depan.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob manakala delegasi Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:15 PM