PULAU Batu Puteh. FOTO arkib NSTP
PULAU Batu Puteh. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


MALAYSIA dan Singapura akan meneruskan rundingan mengenai sempadan maritim di kawasan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dewan Rakyat dimaklumkan, kedua-dua negara sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) bagi melaksanakan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2008.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, sehingga kini, tujuh mesyuarat MSJTC sudah diadakan dalam proses perundingan pembatasan sempadan maritim di antara Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Menurutnya, mesyuarat kelapan dijangka berlangsung pada Oktober depan dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Proses perundingan tertunda sebelum ini berikutan ada beberapa percanggahan dalam rundingan di antara kedua-dua negara dan kerana Malaysia mengemukakan semakan semula penghakiman kes ini kepada ICJ,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) yang ingin tahu kemajuan rundingan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Katanya, pada Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin Kerajaan Malaysia-Singapura yang diadakan pada 9 April lalu di Putrajaya, Perdana Menteri kedua-dua negara menyambut baik kerjasama dua hala dalam melaksanakan cadangan kumpulan kerja bagi menangani isu maritim membabitkan peluasan had pelabuhan Johor Bahru di Tanjung Piai dan had pelabuhan Singapura di Tuas.

“Singapura juga bersetuju mengadakan rundingan dengan Malaysia mengenai persempadanan maritim Malaysia-Singapura yang masih belum dimuktamadkan dan bukan sahaja bagi kawasan had pelabuhan terbabit,” katanya.

Marzuki berkata, satu jawatankuasa juga dibentuk selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Malaysia-Singapura Bagi Perbatasan Sempadan Maritim di Sekitar Kawasan Had Pelabuhan Bertindih Johor Bahru di Tanjung Piai dan Singapura di Tuas diadakan pada 13 Mei lalu di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:30 AM