Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca yang terletak lebih dekat dengan Johor berbanding Singapura.
Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca yang terletak lebih dekat dengan Johor berbanding Singapura.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengetuai pasukan perundangan bagi proses semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurutnya, setakat ini pasukan itu membabitkan tujuh individu termasuk beliau, pakar asing dan tempatan yang setaraf dengan pasukan perundangan dari Singapura.

"Saya akan menambah jumlah pasukan ini apabila kes ini didengar di ICJ kelak.

"Kami yakin dengan pasukan berkaliber ini serta tiga dokumen baru ditemui di National Archives of the United Kingdom yang boleh dijadikan bukti, Pulau Batu Puteh boleh menjadi milik Malaysia," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan keputusan ICJ bagi kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.

Permohonan itu dibuat Malaysia selepas penemuan beberapa fakta baru yang boleh menjadi faktor penentu, yang sebelum ini iaitu ketika penghakiman disampaikan, fakta terbabit tidak diketahui oleh mahkamah dan juga Malaysia.

Mohamed Apandi berkata, pasukan perundangan Malaysia juga terdiri daripada individu yang bukan calang-calang orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 11:22 AM