Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Malaysia perlu mengemukakan bantahan terhadap tindakan Singapura yang akan mula menambak tanah di sekitar pulau Batu Putih atau Pedra Branca.

Sumber industri maritim berkata, jika tiada bantahan dikemukakan ia akan menimbulkan isu kedaulautan negara lebih besar terutama membabitkan perairan di sekitar Pulau Batu Putih, yang kini masih di dalam tuntutan bertindih.

Kata sumber itu, antara langkah yang boleh diambil republik itu adalah menuntut perairan lebih dari 0.5 meter dari Pulau Batu Putih sebagai miliknya.

"Sebenarnya status perairan sekitar Pulau Batu Putih, iaitu Tubir Selatan (South Ledge) masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

"Adalah tidak mencerminkan semangat ASEAN apabila Singapura sudah mula dilaporkan akan mula menambak perairan sekitar Pulau Batu Putih tanpa mempedulikan isu pertikaian Tubir Selatan yang masih belum selesai.

"Jika Malaysia tidak membuat bentahan terhadap tindakan Singapura itu, kita mungkin akan hilang kedaulatan terhadap kawalan perairan di sepanjang 12 batu nautika yang ketika ini milik negara.

"Untuk rekod, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 menganugerahkan Batuan Tengah (Middle Rock), kawasan batuan kurang 500 meter dari Pulau Batu Puteh, kepada Malaysia, dan hak itu perlu dipertahankan," katanya kepada NSTP.

Singapura hari ini dilaporkan, akan mula menambak tanah di sekitar pulau Batu Putih atau Pedra Branca, bagi menambah baik kemudahan di pulau berkenaan akhir tahun ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam berkata, ia juga bagi membolehkan kapal berlabuh selain menyediakan kemudahan logistik sokongan pentadbiran dan komunikasi tambahan.

Langkah berkenaan dilaporkan sekali gus akan meningkatkan keselamatan maritim serta keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan itu.

Pertikaian mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) bermula apabila Malaysia mengeluarkan, pada 21 Disember 1979, satu peta yang menunjukkan pulau ini berada di dalam kawasan perairan Malaysia.

Peta ini tidak dipersetujui Singapura yang meminta pada 14 Februari 1980, supaya ia diperbetulkan kerana berpendapat pulau ini adalah miliknya.

Selepas rundingan pada 4 Februari 1993 dan 11 hingga 13 Januari 1994 gagal menyelesaikannya, Malaysia dan Singapura merujuk pertikaian itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 24 Julai 2003.

Ia berakhir pada 23 Mei 2008 bila ICJ memutuskan bahawa berdasarkan bukti yang dikemukakan kepadanya, kedaulatan ke atas pulau ini sudah berpindah ke Singapura pada 1980.

Bagaimanapun ICJ memutuskan kedaulautan ke atas Batuan Tengah, masih hak mutlak Malaysia.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 12:41 PM