Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Pembangkang di negeri ini sebulat suara menolak tawaran Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) menjadi pemerhati dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat PH Johor yang dipengerusikan Ketua Pembangkang Johor Aminolhuda Hassan, Khamis lalu selepas pembentangan Belanjawan Johor 2022.

Jimmy yang juga Bendahari PH Johor berkata, langkah Hasni hanya menawarkan peranan pemerhati kepada Adun pembangkang dianggap PH Johor tidak adil, apatah lagi mereka dipilih rakyat untuk menyuarakan masalah di kawasan masing-masing.
Kata beliau, PH Johor berpendirian, jika Adun pembangkang hanya ditawarkan menjadi pemerhati dalam JTPD, ia akan ditolak kerana ia tiada fungsi serta dan tiada makna langsung.

"Hanya sekadar dibenarkan datang, duduk dan balik. Sebaliknya, PH Johor desak diberikan taraf ahli 'ex officio' supaya Adun pembangkang dapat beri pandangan dan meminta penjelasan berkaitan isu di kawasan masing-masing dalam JTPD.

"Aminolhuda sudah menyampaikan keputusan sebulat suara PH Johor kepada Hasni. Malah Adun Jementah Tan Chen Choon, akan membawa usul mengenai isu ini pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 Ahad ini," katanya.

Jimmy berkata demikian pada sidang media pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Khamis lalu, Hasni yang juga Adun Benut mengumumkan, kerajaan negeri bersetuju untuk menjemput Adun pembangkang untuk menyertai JTPD sebagai pemerhati.

Hasni dilaporkan berkata, ia sebagai maklum balas kepada permintaan Adun pembangkang sebelum ini untuk terbabit sama dalam jawatankuasa berkenaan.

Ditanya sama ada adakah pembangkang tidak akan memberikan sokongan terhadap undian Belanjawan 2022 berikutan isu berkenaan, Jimmy yang juga Adun Bukit Batu berkata, PH Johor akan menunggu maklum balas Hasni ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 Ahad ini.

"Kita (PH Johor) tunggu pada masa itu (sesi penggulungan) sama ada pembangkang akan sokong Belanjawan Johor 2022 atau tidak.

"Johor mempunyai jumlah Adun kerajaan dan pembangkang yang tipis iaitu 29/27 dan Hasni sebagai Menteri Besar diharap dapat meneruskan politik matang demi kebaikan masyarakat.

"Jika Menteri Besar benarkan Adun pembangkang sertai JTPD sebagai ahli ex officio, PH Johor akan menarik semula usul mengenai isu ini Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 12:51 PM