Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz Ghazi
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 hari ini, bertukar panas apabila seorang EXCO kerajaan menempelak pembangkang dan menyifatkan mereka lupa daratan serta hipokrit.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut mengkritik segelintir wakil rakyat pembangkang yang memilih untuk menyindir kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, pada sesi perbahasan mereka.

Kata Onn Hafiz, tindakan seorang ahli pembangkang mempersoalkan legitimasi kerajaan negeri Johor sedia ada kerana didakwa wujud tanpa melalui pilihan raya juga adalah pemahaman yang silap.

Onn Hafiz berkata, walaupun legitimasi kerajaan negeri Johor hari ini dipersoalkan, majoriti rakyat Johor dan Malaysia bersyukur serta menarik nafas lega apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu (Jimmy Puah Wee Tse) ada juga bercerita tentang ahli politik yang macam pelacur.

"Namun begitu, saya nak tanya Yang Berhormat, bukankah kerajaan negeri Melaka yang jatuh baru-baru ini disebabkan pelacur-pelacur politik.

"Pelacur politik ini kemudiannya dipungut, diangkat, dijulang dijadikan calon-calon PH. Di mana logiknya, Yang Berhormat kutuk dan hina pelacur politik tetapi pada masa sama ambil mereka sebagai calon semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Lepas itu, bila rakyat menolak mereka ini dan PH kalah di Melaka, hendak salahkan orang lain. Kalau hendak hina orang, cermin-cerminlah diri sendiri. Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih," katanya.

Onn Hafiz berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ke-14 di sini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Adun Layang-Layang berkata, rakyat semakin matang berpolitik.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat Malaysia di Melaka malah di Johor semakin peka dan sudah membuka mata.

"Sudah ada kesedaran politik. Rakyat dapat bezakan antara intan dengan berlian, kaca dengan permata. Selama 22 bulan PH memerintah, rakyat tidak melihat demokrasi mengembang, yang mengembang hanyalah hipokrasi.

"Rakyat Malaysia sudah tahu dan sedar dengan tembelang PH menabur janji bulan dan bintang sebelum PRU, kemudiannya tidak menunaikan janji-janji dibuat bila sudah menang. Rakyat sudah serik," katanya.

Onn Hafiz berkata, rakyat kini tidak mahu diperbodohkan lagi.

"Sebelum PRU-14 bukan main lagi menghasut rakyat, mencanang dalam ceramah, berpiket, menghasut anak-anak muda untuk pergi ke jalanan. Namun bila sudah menang, dia (pembangkang) buat tak tahu sahaja dan tidak tunaikan janji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 3:28 PM