HASNI, gambar fail. FOTO NSTP
HASNI, gambar fail. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor bersetuju memberi peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, ia bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada rakyat negeri ini yang terjejas akibat Covid-19 melalui wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya, peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 turut disalurkan kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri ini.

"Hari ini, kerajaan Johor bersetuju untuk memperuntukkan tambahan RM150,000 kepada semua 56 Adun Johor.

"Manakala tambahan RM100,000 lagi kepada Pengerusi JPKD Dun negeri ini.

"Saya berharap peruntukan tambahan ini disalurkan kepada rakyat terjejas untuk kebajikan dan kemashalatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang, ketika sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dun Johor yang ke-14, hari ini.

Aminolhuda ingin tahu bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada penduduk negeri ini yang terjejas Covid-19.

Pada 29 Julai lalu, Hasni yang juga Adun Benut dilaporkan mengumumkan peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua 56 Adun Johor dan Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri ini.

Hasni berkata, peruntukan tambahan itu bertujuan bagi melancarkan lagi pemberian bantuan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan Dun masing-masing.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk negeri ini yang terjejas Covid-19.

Katanya, ia menerusi peruntukan kerajaan negeri termasuk daripada Pejabat Menteri Besar.

"Agensi negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya e-Kasih, turut menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat terjejas termasuk kewangan, bekalan makanan dan banyak lagi.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga termasuk Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah turut aktif menyalurkan bantuan kepada rakyat terjejas Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 10:42 AM