AMINOLHUDA (tengah) pada sidang media di Pejabat ADUN Iskandar Puteri. FOTO Omar Ahmad
AMINOLHUDA (tengah) pada sidang media di Pejabat ADUN Iskandar Puteri. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

PAKATAN Harapan (PH) Johor akan memohon satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas diadakan bagi membuktikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya akan menyerahkan surat permohonan berkenaan kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat, Ahad ini.

Katanya PH Johor tidak menentang keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melantik Hasni sebagai Menteri Besar.

“Tetapi kami berpendapat bahawa sebagai Menteri Besar, Hasni perlu ada tanggungjawab untuk mengadakan sidang DUN Khas bagi membuktikan beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

“Ini penting kerana sokongan majoriti diperlukan untuk meluluskan sebarang Belanjawan negeri tanpa sebarang masalah.

“Oleh itu penyelesaian haruslah mengikut undang-undang agar Hasni boleh mengesyorkan kepada Sultan untuk membubarkan dewan sekiranya gagal mendapat sokongan majoriti di DUN.

“Apa yang kita mohon pada hari ini, sidang DUN Khas bagi membuktikan kepada rakyat memang Menteri Besar yang baru dilantik ini mempunyai sokongan majoriti mudah,“ katanya pada sidang media PH Johor di Pejabat ADUN Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Aminolhuda, berdasarkan Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor artikel 7 (1), speaker dewan mempunyai kuasa untuk menetapkan tarikh dan masa sidang khas itu diadakan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jimmy Puah berkata, DUN adalah tempat paling sesuai untuk semua pihak menyatakan sokongan masing-masing terhadap Kerajaan negeri yang baru.

“Saya rasa ini (langkah memanggil sidang DUN Khas) adalah tindakan yang adil. Justeru kita akan serahkan surat permohonan kepada speaker pada Ahad, 11 pagi untuk mengadakan Sidang DUN khas,“ katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 12:15 PM