Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menunjukkan ucapan Belanjawan 2022 sebelum memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menunjukkan ucapan Belanjawan 2022 sebelum memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor termasuk pembangkang akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukan itu bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing serta bantuan peruntukan kerja kecil di kawasan mereka.

"Kerajaan Johor bersetuju supaya kesemua Adun akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun, bagi membantu semua Adun memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

"Sebagai tambahan untuk Belanjawan 2022, kerajaan Johor turut bersetuju untuk memberikan tambahan sebanyak RM50,000 bagi setiap Adun bagi tujuan bantuan perayaan besar seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain.

"Perkara ini akan dibawa melalui Jawatankuasa Pilihan yang mana jawatankuasa itu akan membuat ketetapan berkaitan sebelum dibawa ke Dewan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Hasni yang juga Adun Benut berkata, kerajaan Johor juga bersetuju untuk menjemput Adun Pembangkang menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD), sebagai pemerhati.

Katanya, ia sebagai maklum balas kepada permintaan wakil rakyat itu sebelum ini untuk terbabit sama di dalam jawatankuasa berkenaan.

"Saya berharap supaya peruntukan di atas selain penyertaan Adun pembangkang dalam JTPD, sedikit sebanyak dapat melegakan setiap Adun dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya percaya bahawa semangat Muafakat Bangsa Johor dapat meningkatkan kesediaan kita untuk menangani pelbagai cabaran masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 2:25 PM