AB Rauf selepas sidang media, minggu lalu. FOTO Aizuddin Saad
AB Rauf selepas sidang media, minggu lalu. FOTO Aizuddin Saad
Ahmad Suhael Adnan


Masjid tanah: Status sebagai calon 'heavyweight' tidak menjadikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengambil mudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya mahu membawa visi besar untuk diangkat sebagai manfaat penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara.

Bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu, Ab Rauf melihat pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan masih perlahan, sekali gus mahu memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur utama yang bakal menjadi 'game changer' untuk Tanjung Bidara dan penduduknya.

Kata Ab Rauf, potensi pembangunan Tanjung Bidara ketika ini terjejas kerana tidak memiliki kesalinghubungan yang baik dengan pusat bandar Melaka dan lebuh raya utama.

"Antara perkara yang akan diperjuangkan ialah meminta kerajaan mempercepatkan pembinaan lebuh raya pesisir pantai bagi mewujudkan laluan lebih baik antara Tanjung Bidara dengan pusat bandar.

"Ketika ini, tempoh diperlukan dari Tanjung Bidara ke bandar sekitar satu jam walaupun jaraknya kira-kira 30 kilometer kerana perlu menempuh 27 lampu isyarat. Pembinaan lebuh raya itu akan memendekkan masa kepada hanya 20 minit.

"Saya juga mencadangkan supaya ada hubungan terus kawasan ini dengan Lebuhraya Utara-Selatan kerana ketika ini, susur keluar paling dekat adalah Pedas Linggi di Negeri Sembilan, iaitu sekitar 30 minit dari Tanjung Bidara," katanya.

Tanjung Bidara dengan kira-kira 20,000 pengundi antara lokasi pelancongan utama di Melaka dan memiliki beberapa destinasi tarikan pelancong seperti pantai Pangkalan Balak, Perigi Lawa dan Padang Kemunting.

Hampir 90 peratus penempatan Tanjung Bidara terdiri kampung tradisional, manakala penduduknya bekerja sebagai nelayan, petani dan terbabit sektor berkaitan pelancongan seperti pengusaha chalet serta kedai makan.

Ab Rauf yang julung kali bertanding dalam pilihan raya juga mahu melihat kerajaan negeri meningkatkan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air mencukupi bagi menampung permintaan kawasan perindustrian Masjid Tanah.

"Kawasan perindustrian di sini sukar menarik pelabur ketika ini kerana masalah itu dan saya yakin, ia akan diatasi dengan menaik taraf infrastruktur asas itu serta hubungan lebuh raya yang baik.

"Selain itu, saya juga mahu membantu memulihkan ekonomi penduduk yang rata-ratanya terbabit dalam pelancongan.

"Antaranya membantu meningkatkan tahap perkhidmatan dan fasiliti pelancongan di Tanjung Bidara selain mengatasi isu tanah operator chalet yang semakin mengecil akibat hakisan pantai," katanya.

Pada masa sama, Ab Rauf berkata, beliau akan turut memperjuangkan urusan permohonan lesen untuk penduduk dan pesara yang mahu menjadi nelayan.

Ab Rauf yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah berdepan saingan tiga penjuru.

Beliau dicabar Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hasan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14, kerusi Tanjung Bidara dimenangi calon BN, Datuk Md Rawi Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 1:34 PM