MAS Ermieyati (kiri) di warung Pak Daud di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MAS Ermieyati (kiri) di warung Pak Daud di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya hubungan beliau dengan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bermasalah.

Sebaliknya, calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara itu berkata, hubungan mereka amat baik kerana mahu memastikan Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

"Saya tiada sebarang masalah dengan beliau (Mohd Rafiq) kerana kami bersama-sama dalam parti (Bersatu) dan ingin mencapai kemenangan pada PRN kali ini.

"Beliau Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, kenapa pula kami harus bermasalah?" katanya ketika ditemui selepas melepaskan konvoi bermotosikal ahli dan penyokong Bersatu di Bilik Gerakan PN di Kampung Padang Kemunting, di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, sebagai Ketua Bersatu Masjid Tanah, beliau menghormati Mohd Rafiq sebagai pemimpin Bersatu negeri dan saling bertukar pendapat mengenai usaha untuk memajukan parti dan PN secara keseluruhannya.

"Tidak benar kami dikatakan bermasalah, sebaliknya saling bekerjasama untuk kebaikan parti dan PN," katanya.

Mas Ermieyati diminta mengulas dakwaan kononnya hubungan beliau dan Mohd Rafiq yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput menghadapi masalah.

Selain itu, dakwaan kononnya bekas Ketua Puteri Umno berkenaan bakal dipilih oleh pucuk kepemimpinan parti PN sebagai calon Ketua Menteri jika PN menang pada PRN Melaka.

Beliau juga menegaskan, tidak pernah mengimpikan jawatan Ketua Menteri, sebaliknya hanya ingin berkhidmat untuk anggota komuniti di Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah secara keseluruhannya.

Mas Ermieyati berdepan saingan tiga penjuru, dicabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:16 PM