AB Rauf (kanan) bersama dua lagi calon DUN Tanjung Bidara iaitu Zainal (kiri) dan Mas Ermieyati. FOTO Bernama
AB Rauf (kanan) bersama dua lagi calon DUN Tanjung Bidara iaitu Zainal (kiri) dan Mas Ermieyati. FOTO Bernama
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertemakan 'Kestabilan Demi Kemakmuran', Rabu ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengumuman itu akan dibuat di kediamannya di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

"Manifesto BN akan dilancarkan pada 10 November ini. Sudah pasti kita memerlukan sebuah kestabilan untuk kemakmuran rakyat.

"Sudah pasti juga, kita akan memberikan beberapa cadangan untuk melihat kemakmuran sepanjang koridor kawasan Masjid Tanah ini, akan memberikan satu pulangan baik kepada rakyat sama ada dalam bentuk sosioekonomi atau bidang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya hari ini.

Ab Rauf yang disahkan pencalonannya hari ini untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara, dicabar dua lagi calon iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Minggu lalu, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, manifesto BN pada PRN Melaka signifikan untuk rakyat.

Katanya, jawatankuasa berkaitan manifesto parti sudah diminta melakukan sebaiknya demi kepentingan rakyat di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:14 PM