Sulaiman (tengah) tiba di pusat penamaan calon N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah. FOTO Asyraf Hamzah
Sulaiman (tengah) tiba di pusat penamaan calon N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menegaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika BN menang PRN kali ini.

Beliau berkata, tidak timbul pencalonan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di kerusi DUN Tanjung Bidara, memungkinkan nama lain bakal dikemuka bagi jawatan itu.

"Tak, tak, tak... kita (BN) tentukan Sulaiman saja (sebagai ketua menteri)," katanya ditanya media ketika beliau mengiringi Ab Rauf ke pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara di sini, hari ini.

Sementara itu, Ab Rauf pula menegaskan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini sebagai membawa mesej perjuangan parti, bukan untuk menentang mana-mana individu.

"Saya bukan melawan (Datuk) Mas Ermieyati (Samsuddin). Saya membawa sebuah perjuangan dan menebus maruah orang UMNO di Tanjung Bidara," katanya.

Saingan tiga penjuru bakal disaksikan bagi kerusi Dewan DUN Tanjung Bidara dalam PRN Melaka kali ini, antara Ab Rauf, Mas Ermieyati serta calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Ketika ini, pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini ditutup 10 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 10:59 AM