ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Bukit Damansara selepas menerima aduan pelanggaran SOP. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Bukit Damansara selepas menerima aduan pelanggaran SOP. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 32 individu dikenakan kompaun selepas menyertai sambutan hari jadi di sebuah rumah di Bukit Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima aduan berhubung pesta diadakan di kediaman berkenaan pada jam 10 malam.

"Susulan itu, sepasukan polis dari IPD Brickfields melakukan serbuan dan pemeriksaan di lokasi terbabit.

"Hasil serbuan mendapati seramai 32 individu warga tempatan dan seorang individu warga asing dipercayai penjaga rumah mengadakan majlis hari jadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, pemeriksaan terhadap semua individu mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Manakala ujian saringan air kencing pula mendapati seorang lelaki dan seorang wanita positif dadah.

"Semua individu terbabit diberikan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 11:19 AM