ANGGOTA Polis menyerbu parti liar di kolam renang kelab persendirian. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA Polis menyerbu parti liar di kolam renang kelab persendirian. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah lebih RM1.5 juta terhadap penganjur dan pengunjung parti liar di kelab persendirian di Bukit Kiara, di sini, malam tadi, kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dua lelaki bertindak sebagai penganjur dan penjaga parti berkenaan.

"Secara keseluruhan penganjur dikenakan kompaun sebanyak RM50,000, 87 pengunjung warga tempatan dikenakan kompaun sebanyak RM435,000 dan 216 pengunjung warga asing dikenakan kompaun sebanyak RM1,090,000," katanya.

Amihizam berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, menyerbu kawasan kolam renang berkenaan dalam operasi pada 10.50 malam.

Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati 23 warga tempatan terdiri daripada sembilan lelaki dan 14 wanita serta empat lelaki warga asing didapati positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Amihizam berkata, semua 216 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22(b) Akta 342 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959.

"Siasatan juga turut dijalankan mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2021 serta Seksyen 32 Akta Eksais 1976," katanya.

Difahamkan setiap individu dikenakan bayaran RM60 untuk menyertai parti berkenaan manakala harga meja yang ditawarkan adalah setingga RM1,200 hingga RM8,000 berhampiran dengan kedudukan pentas serta hidangan minuman keras yang berjenama mewah.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan arahan MKN serta prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan:


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:16 PM