Polis menyerbu sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Plaza Damansara.FOTO IHSAN PDRM
Polis menyerbu sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Plaza Damansara.FOTO IHSAN PDRM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah pusat hiburan tanpa lesen dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM81,000 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan jam 11.24 malam tadi itu dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Plaza Damansara, Bukit Damansara, di sini.

Menurutnya, polis menahan penjaga premis berusia 31 tahun dan enam pekerja warga asing berusia antara 25 hingga 34 tahun kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

"Selain itu, seramai empat pelanggan premis terdiri daripada seorang wanita warga asing berusia 21 tahun dan tiga lelaki warga asing berusia antara 18 hingga 27 tahun ditahan kerana melanggar SOP yang ditetapkan MKN.

"Secara keseluruhan, seramai 55 lelaki dan 26 wanita tempatan dikenakan tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara 2021 membabitkan nilai kompaun keseluruhan RM81,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes antaranya resit perniagaan, risalah senarai harga, minuman keras, monitor, papan kekunci, pelbagai aksesori dan peralatan muzik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) (PPN) Fasa 4 2021 dan Seksyen 22(b) Akta 342 Kawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 5:28 PM