FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis memburu dua suspek kes curi kenderaan di sebuah pusat servis kenderaan di Sungai Penchala, Jalan Damansara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang kehilangan kenderaan jenis Ford Ranger berwarna hitam diletakkan dalam bangunan mangsa bekerja pada 11.59 pagi.

"Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dimiliki pelanggan pusat servis kenderaan berkenaan dan kali terakhir dilihat Selasa lalu dan berada dalam keadaan baik.

"Mangsa melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan ternampak suspek lelaki dan wanita datang menaiki sebuah kereta jenis BMW disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, kenderaan pacuan empat roda yang hilang didaftarkan atas nama seorang pelanggan lelaki berusia 60 tahun yang menghantar kenderaan itu ke pusat servis untuk pemeriksaan pintu.

"Nilai kerugian kehilangan pacuan empat roda itu dianggarkan kira-kira RM150,000 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

"Polis meminta saksi bebas yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:36 PM