GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sebanyak 24 varian baharu yang dikesan di Kelantan iaitu 23 varian Delta dan satu varian Beta dalam tempoh 20 Oktober sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, varian berkenaan dikesan hasil daripada kajian berterusan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, sampel berkenaan yang diambil di beberapa daerah di Kelantan sebelum ini dan dihantar oleh JKNK untuk diuji kaji.

"Jumlah keseluruhan bagi varian baharu di negeri ini sehingga semalam adalah 77 kes iaitu 50 varian Delta dan 27 varian Beta.

"Dengan peningkatan varian baharu ini, pihak kita berharap rakyat di negeri ini sentiasa berwaspada dan menjaga diri. Begitu juga dengan perantau dinasihatkan supaya melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung untuk bertemu keluarga," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zaini berkata, kadar jangkitan Covid-19 di Kelantan masih tinggi jika dibanding dengan negeri-negeri lain iaitu 49 kes bagi setiap 10,000 populasi.

Beliau berkata, jika semua rakyat bekerjasama dengan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP), maka kes di Kelantan dapat diturunkan.

"Walaupun kita hidup dalam keadaan norma baharu, namun masyarakat perlu ingat bahawa kes Covid-19 masih lagi tinggi dan kita terdedah dengan jangkitan jika tidak patuh kepada SOP.

"Di mana sahaja berada, jangan lupa amalkan kebersihan diri, pakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 2:41 PM