GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Penularan varian Delta dan Beta di negeri ini dikesan sebanyak 42 kes sejak Julai sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes membabitkan varian Delta dan sembilan lagi membabitkan varian Beta.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes Delta tertinggi iaitu sebanyak tujuh kes, Kemaman (enam), Besut (lima), Dungun (empat), masing-masing dua di Marang dan Setiu, manakala enam lagi membabitkan kluster di Kemaman dan Dungun.

Katanya, varian Beta pula membabitkan lima kes di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu (dua) dan masing-masing satu kes di Marang dan Besut.

"Fakta penting perlu diberi perhatian utama adalah kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

"Walaupun individu sudah mengambil vaksin tetapi masih belum kebal sepenuhnya dan seluruh masyarakat jangan leka serta pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Kasemani berkata, walaupun Terengganu sudah mula melangkah ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 17 September lalu, orang ramai disaran mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, rakyat disaran tidak alpa dengan pelbagai kelonggaran dalam aktiviti ekonomi, sukan serta pelancongan domestik.

"Jangan lupa kes Covid-19 masih lagi tinggi dan keberadaan varian Beta serta Delta menular di semua daerah yang boleh menyebabkan kadar jangkitan lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 11:24 AM