PEMANDU lori melalui jalan di Kompleks E.
PEMANDU lori melalui jalan di Kompleks E.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Pemandu lori yang melanggar lebih 10 kereta yang parkir di tepi jalan di Kompleks E di sini Khamis lalu negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemandu berumur 66 tahun dan kelindan berumur 25 itu turut diambil keterangan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas dua lelaki itu mendapati mereka bebas daripada dadah.

"Polis sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Pada Khamis lalu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan sebuah lori berwarna putih melanggar lebih 10 kereta di Kompleks E, Putrajaya.

Kejadian itu menyebabkan kereta yang dipakir di bahu jalan itu mengalami pelbagai kerosakan termasuk kesan calar dan kerosakan cermin sisi.

Asmadi berkata, pemilik kereta yang terbabit dalam kejadian itu sudah hadir ke IPD Putrajaya untuk membuat laporan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk meletak kenderaan di tempat yang dikhaskan dan tidak menghalang laluan kepada kenderaan lain.

Katanya, kenderaan yang menghalang laluan juga akan menimbulkan masalah sekiranya berlaku kecemasan membabitkan kenderaan besar seperti jentera Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang tidak mempunyai ruang untuk bergerak.

"Polis boleh mengeluarkan saman ke atas pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas termasuk tidak meletak kenderaan di tempat yang dikhaskan.

"Oleh kerana kejadian itu berlaku di kawasan pejabat kerajaan, pegawai keselamatan di kawasan itu boleh mengambil tindakan ke atas pemilik kenderaan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:01 PM