ANTARA motosikal yang disita selepas didapati diletakkan di kawasan laluan OKU dan pejalan kaki di sekitar ibu kota.
ANTARA motosikal yang disita selepas didapati diletakkan di kawasan laluan OKU dan pejalan kaki di sekitar ibu kota.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Diberikan akal dan fizikal sempurna, namun masih ada individu yang sengaja menghalang laluan atau menggunakan kawasan parkir dikhaskan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Tindakan tidak prihatin dilakukan pemilik kenderaan terutama penunggang motosikal itu diberi perhatian serius pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jurucakap DBKL berkata, sepasukan anggota warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL bertindak melaksanakan tindakan khas angkut dan tunda kenderaan di sekitar laluan pejalan kaki, laluan OKU serta lokasi larangan pakir kenderaan berhampiran Stesen LRT Bangsar, Jalan Bangsar di sini, sejak kelmarin.

Menurutnya, tindakan diambil susulan maklum balas dan aduan diterima pihak DBKL berhubung tindakan pemilik motosikal, kenderaan persendirian dan teksi yang dipakir di lokasi tidak dibenarkan.

"Susulan itu anggota warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL mengatur beberapa siri tindakan khas sekitar kawasan tumpuan (hotspot) secara berkala.

"Pada tindakan kali ini, sebanyak lapan motosikal dan enam kereta ditunda ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang di sini, untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara," katanya.

Menurutnya, DBKL turut mengeluarkan 44 notis kompaun pelbagai kesalahan lalu lintas lain sepanjang operasi tindakan dijalankan.

"Kesemua tindakan dilakukan menerusi kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal diingatkan mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa selain memastikan kenderaan diletakkan di lokasi sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:35 AM