LELAKI maut dihempap kereta sendiri di Presint 5 di sini hari ini. FOTO Ihsan pembaca.
LELAKI maut dihempap kereta sendiri di Presint 5 di sini hari ini. FOTO Ihsan pembaca.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang lelaki maut dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan penyelenggaraan kenderaan itu di sebuah pangsapuri di Presint 5 di sini hari ini.

Mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata polis menerima laporan pada 11.48 pagi dari orang awam menyatakan seorang lelaki tersepit di bawah kenderaan dan polis tiba di lokasi kejadian pada 12 tengahari.

Menurutnya, ketika polis tiba mayat mangsa yang berada di bawah bahagian enjin kereta jenis Perodua Bezza sudah dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Katanya, mangsa yang maut dikenali Mohammad Azim Mohd Sanusi bekerja sebagai pemandu Grab dan hasil soal siasat terhadap isteri mangsa mendapati ketika kejadian, suaminya sedang menukar minyak hitam dan menukar brek tayar hadapan sebelah kanan.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dan siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah, "katanya melalui satu kenyataan.

Asmadi berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, pihak Forensik Hospital Putrajaya juga mengambil ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat dijangka diadakan esok pagi.

"Rakaman percakapan isteri mangsa juga telah diambil dan keluarga mangsa juga dihubungi bagi maklumkan kejadian, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 9:42 PM