SEORANG remaja menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program pemberian vaksin pada gelandangan dan komuniti Lorong Wang Ah Jang dan Jalan Pasar Besar. FOTO Mohd Rafi Mamat
SEORANG remaja menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program pemberian vaksin pada gelandangan dan komuniti Lorong Wang Ah Jang dan Jalan Pasar Besar. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesan terdapat seramai 1,286 remaja di negeri ini yang tercicir menerima vaksin Covid-19.

Mereka terdiri daripada gelandangan dan orang kurang upaya (OKU) serta individu yang tidak bersekolah.

Sehubungan itu, Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, program outreach menjadi sebahagian daripada program jangkauan luar yang sedang dirangka di negeri ini bagi mengesan golongan tercicir itu.

"Kita akan mengadakan program outreach sebanyak mungkin di semua daerah. Sebagai contoh, minggu lalu, kita adakan program suntikan di masjid dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

"Kita akan teruskan program ini di kawasan tumpuan atau tempat awam bagi mencari mereka yang masih belum menerima vaksinasi.

"Kita bercadang untuk memulakan program outreach di pasar raya dan kampung kerana kita merasakan masih terdapat kumpulan penduduk yang masih belum menerima vaksinasi," katanya, di sini semalam.

Dr Nor Azimi berkata, kerjasama agensi kerajaan dan swasta dapat melancarkan lagi program pemberian vaksinasi yang dilakukan secara berterusan di seluruh negeri ini.

Mengenai pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, beliau berkata, pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi dan garis panduan dari Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum memulakan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:24 AM