Adham Baba (dua kiri) bersama Ahmad Yakob (kanan) melihat petugas memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika melawat di PPV di Dewan Sri Tunjung, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Adham Baba (dua kiri) bersama Ahmad Yakob (kanan) melihat petugas memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika melawat di PPV di Dewan Sri Tunjung, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan membuat pengharmonian data untuk memastikan masalah pertindihan maklumat penduduk yang sudah divaksinasi tepat dan terkini.

Langkah itu bakal dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Mimos.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia berikutan data penduduk yang menerima vaksinasi harian di beberapa negeri amat ketara.

Katanya, pengharmonian data berkenaan akan dilakukan di seluruh negara, dan Kelantan antara negeri yang mempunyai angka amat ketara kerana kebanyakan rakyat negeri ini yang berhijrah mendapat vaksinasi masing-masing di lokasi tempat tinggal mereka ketika ini.

"Langkah yang diambil ini amat penting bagi memastikan kerajaan memperoleh angka sebenar dan kita yakin dapat mencapai pemberian vaksin (imuniti kelompok) di Kelantan pada September ini.

"Menerusi data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah populasi dewasa yang telah mendaftar untuk menerima vaksin di negeri ini ialah 1.2 juta.

"Kita akan lihat data ini kerana semasa mereka yang berada di Kelantan didapati sudah menerima suntikan vaksin di negeri-negeri seperti di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jadi kita akan buat data secara harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, setakat ini peratusan vaksinasi lengkap di Kelantan bagi populasi dewasa melebihi 50 peratus, manakala 73 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Menurutnya, berdasarkan pembentangan pemantauan pengedaran vaksin Covid-19 semasa Mesyuarat CITF pada 8 September lalu, Kelantan bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 1,248,900 dos sepanjang September ini.

Katanya, sebanyak 18,000 dos vaksin CanSino juga akan dibekalkan ke kawasan pedalaman terutama di Gua Musang dan Kuala Krai bagi memenuhi permintaan masyarakat di luar bandar.

"Malaysia sudah mencapai peratusan kadar vaksinasi melebihi 90 peratus bagi populasi dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala lebih 70 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.

"Kami sedang berusaha untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan dengan sempurna dan lebih banyak program vaksinasi secara 'walk in' atau outreach diadakan bagi menjejaki mereka yang sebelum ini mungkin tercicir daripada pendaftaran sistem MySejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:19 PM