Datuk Kasemani Embong, melawat tapak pameran di Majlis Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Terengganu, di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir. FOTO Nazdy Harun
Datuk Kasemani Embong, melawat tapak pameran di Majlis Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Terengganu, di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Dua kematian direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) membabitkan penyakit malaria di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 32 kes malaria dilaporkan membabitkan 29 kes malaria zoonotik dan tiga kes malaria manusia (import).

Menurutnya, daripada jumlah itu, dua kematian dicatatkan pada tahun lalu membabitkan kes malaria zoonotik iaitu jangkitan daripada haiwan spesies kera kepada manusia.

"Setakat Mei tahun ini, 26 kes malaria dilaporkan di negeri ini melibatkan 22 kes malaria zoonotik dan empat kes import human malaria.

"Kes import tahun ini dilaporkan berlaku di Dungun, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, dan Kuala Terengganu melibatkan warga Rohingya.

"Manakala tempoh sama tahun lalu bagi kes import adalah sebanyak 13 kes," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Terengganu di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Menurutnya, daerah Hulu Terengganu mencatat kes malaria paling tinggi sehingga Mei lalu iaitu 10 kes diikuti Kemaman (5), Dungun (4), Setiu (3), manakala Besut, Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu masing-masing satu kes.

Menurutnya, sepanjang lima bulan tahun ini, tiada kematian direkodkan dan terdapat dua kategori jangkitan penyakit malaria iaitu jangkitan manusia kepada manusia yang disebabkan oleh parasit plasmodium falciparum, vivax, malariae dan ovale.

Katanya, kategori kedua pula adalah jangkitan malaria zoonotik yang disebabkan oleh parasit plasmodium knowlesi yang merebak daripada haiwan seperti kera yang menjadi perumah kepada manusia.

"Cabaran pada masa ini bagi Terengganu adalah daripada jangkitan malaria zoonotik yang masih banyak dilaporkan dan menunjukkan trend peningkatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 3:16 PM