Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Syarikat peruncitan dan pengedaran yang berminat menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin Sektor Peruncitan (PPVIN) sempena Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) boleh membuat permohonan dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, mereka perlu mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk dinilai sebelum diluluskan jika menepati syarat ditetapkan.

Beliau berkata, PPVIN berkenaan perlu mempunyai kemudahan yang ditetapkan untuk memenuhi sasaran kapasiti vaksinasi kepada 1,500 pekerja ke atas dalam sehari.

Katanya, antara yang diperlukan adalah maklumat syarikat, senarai pekerja, cadangan tapak, keluasan, kapasiti, cadangan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

"Sebagai permulaan, program perintis RiVAC ini akan bermula pada 26 Julai depan di PPVIN di Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur membabitkan barisan hadapan sektor ekonomi peruncitan seperti juruwang, jurujual, kru restoran, pekerja stesen minyak, kru pasar raya, pusat beli-belah, tukang gunting dan kecantikan serta pekerja rantaian pengedaran.

"Pemberian vaksin kepada pemain industri ini penting bagi memastikan sektor peruncitan dapat memberikan perkhidmatan yang selamat dan menyakinkan kepada pengguna.

"Sejak diperkenalkan 26 Mei hingga kini, lebih 186,000 pendaftaran bagi RiVAC daripada hampir 1,400 syarikat diterima dan kita menyasarkan seramai 500,000 pekerja barisan hadapan dan sektor ekonomi mendaftar dengan RiVAC dan mendapatkan vaksinasi.

"Bagi pekerja industri makanan dan minuman, setakat ini seramai 12,276 orang sudah berdaftar dan kita harap ramai lagi segera mendaftar," katanya ketika ditemui pada pelancaran Bakul Makan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di Kampung Tajin, di sini, hari ini.

DATUK Rosol Wahid (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Tajin, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori
DATUK Rosol Wahid (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Tajin, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, RiVAC juga akan diperluaskan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak secara berperingkat.

Katanya, pihaknya menyasarkan kapasiti 1,500 orang sehari dan dijangka dapat memberikan vaksinasi kepada 31,000 pekerja barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan di sekitar Kuala Lumpur.

"Setakat ini, sambutan diterima daripada pemain industri sangat menggalakkan kerana mereka mahu divaksin dalam pertemuan ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 4:21 PM