KEADAAN di Pantai Chenang, Langkawi yang dibuka kepada pelancong. FOTO arkib NSTP
KEADAAN di Pantai Chenang, Langkawi yang dibuka kepada pelancong. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pemain industri hampa apabila pembukaan beberapa lagi lokasi pelancongan ditangguhkan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pengusaha sektor itu sudah bersedia sebaik kerajaan mengumumkan bakal membuka lebih banyak sektor pelancongan domestik.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) ketat akan dipatuhi seperti yang dilakukan pengusaha pelancongan di Langkawi.

"Penangguhan ini mengecewakan pemain industri yang sudah bersedia untuk menerima kunjungan pelancong.

"Saya yakin pengusaha akan patuh kepada segala SOP yang ditetapkan kerajaan untuk memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku," katanya ketika dihubungi.

Mohd Khalid berkata, pembukaan gelembung pelancongan di Langkawi juga sudah membuktikan hanya satu kes positif dikesan dalam kalangan pelancong.

Katanya, pengusaha juga boleh meningkatkan tahap perkhidmatan khususnya membabitkan ruang makan agar tidak berlaku perkumpulan ramai.

"Pelancongan domestik kini sudah menampakkan perkembangan positif apabila masyarakat sudah dibenarkan melancong di dalam negeri.

"Ini petanda yang baik untuk sektor pelancongan kembali rancak selepas suram lebih setahun lalu," katanya.

Beberapa lokasi pelancongan seperti Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands sepatutnya dibuka bermula hari ini.

Namun penangguhan itu dibuat kerana kadar vaksinasi dewasa masih belum mencapai 90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 5:04 PM