GAMBAR hiasan. Pulau Tioman. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pulau Tioman. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Pahang bersedia melaksanakan gelembung pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong seperti di Pulau Langkawi, Kedah yang bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana beberapa destinasi pelancongan di Pahang sudah mencapai imuniti kelompok.

Katanya, apabila kerajaan memutuskan melaksanakan gelembung pelancongan domestik, ia sebenarnya memberi kelegaan dan sinar baharu penggiat industri pelancongan yang sudah lama terjejas susulan penutupan keseluruhan rantaian sektor pelancongan akibat penularan Covid-19 sejak tahun lalu.

"Namun, setelah segala perancangan dibuat termasuk mencapai imuniti kelompok, hanya Pulau Langkawi dibenarkan terlebih dahulu dan ia pasti sedikit mengecewakan penggiat sektor berkenaan.

"Cuma persoalannya di sini, kenapa ia hanya bermula di Pulau Langkawi kerana banyak lokasi pelancongan lain khususnya di Pahang sudah pun bersedia untuk kembali menerima kehadiran pelancong.

"Di Pahang, lokasi seperti Bukit Fraser, Raub dan Pulau Tioman, Rompin sudah lama bersedia untuk kembali membuka sektor pelancongan di situ dan imuniti kelompok juga dicapai.

"Selain itu, lokasi pelancongan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri serta Genting Highland dan Cameron Highlands juga bersedia kembali beroperasi," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembukaan semula sektor pelancongan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seharusnya melihat perkara ini kerana sektor pelancongan di negeri ini turut menjadi perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Pulau Langkawi adalah destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 10:38 AM