PULAU Langkawi.
PULAU Langkawi.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pembukaan sektor pelancongan di Pulau Langkawi bermula 16 September ini ternyata menghidupkan semula ekonomi domestik pulau peranginan itu.

Pulau Langkawi 'mati' sejak pandemik Covid-19 melanda apabila sektor pelancongan yang menjadi nadi utama ekonomi lumpuh ekoran penutupan kepada pelancong.

Presiden Persatuan Hotel Budget dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein berkata, pengumuman kerajaan itu memberi sinar kepada pemilik hotel, inap desa, pemandu pelancong dan pemandu teksi di pulau terbabit untuk kembali bernafas.

Katanya, kira-kira 60 peratus daripasa 80 pengusaha hotel bajet di Langkawi yang berdaftar dengan MyBHA menutup sementara operasi sepanjang pandemik Covid-19.

"Pembukaan semula bakal merancakkan ekonomi Pulau Langkawi dan pengusaha hotel kini dalam proses pembersihan dan melengkapkan fasiliti untuk menerima pelancong pada 16 September depan.

"Pengusaha hotel mungkin akan beroperasi dalam suasana sederhana kerana masih memerlukan masa untuk melatih kakitangan baharu dan melengkapkan semula fasiliti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sektor pelancongan di Pulau Langkawi dijangka kembali pulih sepenuhnya menjelang Disember ini kerana ada pengusaha yang masih mengalami masalah modal pusingan untuk kembali beroperasi.

Menurutnya, pengusaha yang mengalami kerugian besar sejak Mac tahun lalu mengambil sedikit masa untuk kembali beroperasi kerana hotel perlu dilengkapkan dengan tenaga kerja mahir selain kemudahan yang akan ditambah baik kerana sudah lebih setahun tidak beroperasi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

Aktiviti itu merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan inap desa termasuk semua fasiliti dalam premis berkenaan, aktiviti perniagaan seperti konvensyen dan pameran serta program pelancongan dan kebudayaan.

Selain itu, kebenaran juga diberikan kepada produk tarikan pelancong dan aktiviti minat khas sera eco geo kembara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:18 PM