Muhammad Sanusi (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Mahadzir Khalid di Pejabat Menteri Besar Kedah. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Muhammad Sanusi (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Mahadzir Khalid di Pejabat Menteri Besar Kedah. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jangkitan Covid-19 di sebuah hotel terkemuka di Langkawi tidak menjejaskan projek gelembung pelancongan di pulau peranginan itu berikutan ia adalah kes penularan tempatan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah bahawa penularan berlaku di tempat kediaman pekerja yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kes ini mula menular di kawasan kediaman dan ia bukan kes import daripada pelancong luar, tetapi adalah kes tempatan yang kemudian menular di tempat kerja.

"Pelancongan di Langkawi ketika ini tidak terjejas dan penduduk pulau itu baharu sahaja bernafas semula selain kita juga sudah mengambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan sebuah hotel terkemuka di Langkawi menghentikan operasinya secara sukarela selepas 59 kakitangan dan ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19.

Pengarah JKN Kedah, Dr Othman Warijo berkata, semua kes jangkitan berkenaan dilaporkan sebagai Kluster Dah Teluk Nibung yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja dan seramai 249 individu sudah disaring dengan 59 daripada mereka disahkan positif, 192 individu negatif dan tiga lagi individu masih menunggu keputusan saringan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan terdahulu pihaknya menerima kunjungan hormat Konsulat Thailand di Malaysia, Chainarong Keratiyutwong pagi tadi.

"Kita berbincang banyak perkara, antaranya mengenai hal berkaitan pembukaan semula sempadan kedua-dua negara yang ditutup sejak tahun lalu, akibat pandemik Covid-19.

"Namun, perkara ini perlu dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan, ia terpulang kepada kerajaan untuk membuka sektor pelancongan di antara kedua-dua negara," katanya.

#kw covid-19, hotel, terkemuka, Langkawi, pelancongan, Muhammad Sanusi Md Nor, Alor Setar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 4:36 PM