Tinjauan Gelembung Pelancongan Langkawi di Pantai Chenang yang telah dibuka untuk pelancong bermula semalam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Tinjauan Gelembung Pelancongan Langkawi di Pantai Chenang yang telah dibuka untuk pelancong bermula semalam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Selepas suram hampir dua tahun akibat penangan Covid-19, industri pelancongan negara mula bersinar.

Apa yang perlu pemain industri lakukan untuk memastikan sinar ini terus membara? Bagaimana Pulau Langkawi akan menjadi penanda aras industri pelancongan negara?

Ikuti wawancara Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) DATUK MOHD KHALID HARUN bersama Pengarang Berita Harian Metro NAZARALI SAERIL, bagi mengulas isu ini.

Berapa ramai ahli Mata terpaksa 'tutup kedai' sejak pandemik melanda?

Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan 100 peratus ahli Mata diarah menutup operasi kerana industri kami, agensi pelancongan dan hotel tidak tergolong sebagai industri perlu.

Anggaran kerugian tahunan mencecah RM100 bilion dan ia membabitkan transaksi pelancongan dalam, luar negara, restoran pelancongan dan agensi pengangkutan pelancongan.

Pada masa sama, ramai ahli Mata beralih kepada perniagaan membabitkan industri makanan, perniagaan dalam talian, penceramah dan pelbagai lagi.

Ia antara apa yang mereka lakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pengenalan projek perintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Ia langkah bijak dan dinanti-nantikan pemain industri pelancongan terutama di Langkawi sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Saya sendiri mengambil peluang menjadi pelancong pada hari pertama projek perintis di Langkawi.

Saya menyaksikan bagaimana ahli-ahli Mata di Langkawi kembali ceria, malah cukup bersemangat menyambut tetamu mereka.

Bukan itu saja, malah tempahan melangkaui jangkaan dan ramai tidak dapat berkunjung ke Langkawi kerana perkara itu.

Ia membuktikan masyarakat yakin dengan kemampuan pengusaha pelancongan ini untuk menyediakan khidmat mereka termasuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Penginapan di Pulau Langkawi terlebih tempahan. Adakah ia hanya sementara atau akan berterusan?

Berdasarkan pemantauan saya, pada hari pertama, ramai pelancong menempah penginapan bertaraf lima bintang manakala hotel yang bertaraf empat bintang dan ke bawah sudah penuh ditempah untuk awal Oktober hingga Disember.

Ini kerana ramai pelancong masih menunggu kepastian yang tiada penularan Covid-19 semasa mereka bercuti kelak.

Tempahan bilik hotel bagi empat bintang dan ke bawah sebahagian besarnya sudah mencecah antara 70 peratus hingga 80 peratus.

Trend tempahan bilik hotel ini pasti berterusan dan akan membabitkan hotel lain di seluruh negara jika lebih banyak lokasi pelancongan dibuka pada minggu atau bulan mendatang.

Paling penting, semua pemain industri perlu bersedia untuk menyediakan khidmat terbaik mereka.

Pada masa sama, setiap pelancong juga perlu mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

Ia akan memudahkan tugas banyak pihak jika kita semua bekerjasama.

Kemungkinan kehadiran pelancong dihadkan bagi mengelak penularan Covid-19?

Sebagai lokasi pelancongan Fasa 4, tiada sekatan kemasukan jumlah pelancong dibuat di Langkawi.

Ini kerana setiap pelancong tiba di Langkawi akan melalui saringan Covid-19 di lapangan terbang serta jeti Kuala Perlis.

Jeti Kuala Kedah pula masih ditutup buat masa ini.

Setiap pelancong yang sampai di Langkawi diyakini bebas Covid-19.

Tempoh diperlukan untuk membuka kembali industri pelancongan tempatan ke tahap maksimum?

Langkawi akan menjadi kayu pengukur bagi pembukaan sektor pelancongan lain dalam negara kita.

Semua negeri di Malaysia akan menjadikan Langkawi sebagai contoh bagi sektor pelancongan mereka.

Sekiranya projek rintis ini berjaya maka banyak lagi negeri-negeri di Malaysia akan membuka sektor pelancongan mereka.

Saya percaya keadaan ini tidak akan mengambil masa yang begitu panjang.

Ahli-ahli Mata, malah yang lain sudah lama bersedia menerima kehadiran pelancong tempatan.

Pada masa sama, Mata berharap kerajaan dapat membantu pemain industri ini daripada segi kewangan bagi memulakan perniagaan mereka selepas hampir dua tahun tidak beroperasi.

Ini kerana ada yang kurangan modal untuk beroperasi dan jika ia dapat dipenuhi, pasti golongan ini akan berusaha lebih keras untuk meningkatkan pendapatan seterusnya merancakkan lagi ekonomi negara.

Pesan Datuk pada ahli Mata?

Saya menyarankan kepada setiap ahli Mata supaya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai agensi pelancongan mengikut tatacara perniagaan pelancongan serta menuruti semua SOP yang ditetapkan kerajaan dengan penuh teliti.

Peluang ini perlu diambil dengan penuh tanggungjawab serta bersungguh-sungguh kerana pembukaan industri ini ketika ini akan menentukan masa depan kita semua.

Oleh itu, jangan sia-siakan kepercayaan diberi kerajaan serta tetamu-tetamu kita untuk memberikan yang terbaik.

Akhir sekali, saya ucapkan selamat maju jaya kepada setiap ahli Mata serta semua pemain industri pelancongan, terutama di Pulau Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:00 AM