Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan membangunkan semula tapak kebakaran di Kampung Cina di sini dengan mengekalkan ciri-ciri warisan yang ada.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan semula di kawasan kebakaran itu akan mengekalkan ciri-ciri warisan yang menjadi antara lokasi tarikan pelancongan di daerah ini

"Kita akan bincang cara terbaik supaya ia (pembangunan) tidak pelikā€¦ kalau jadi bangunan yang lain di sini suasana pun jadi lain.

"Sebab bila pemilik peribadi, kita kena cuba yakinkan mereka supaya kerajaan boleh bantu dengan cara-cara tertentu untuk kekalkan suasana (warisan).

"Kita akan cuba memastikan suasana di kawasan Kampung Cina yang menjadi warisan atau tempat sejarah bagi Kuala Terengganu ini dibangunkan kembali dan tidak terjejas akibat kebakaran yang menimpa ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi kebakaran di Kampung Cina di sini hari ini.

AHMAD Samsuri (depan, dua kiri) bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid (depan, tiga kiri) di kawasan kebakaran. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (depan, dua kiri) bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid (depan, tiga kiri) di kawasan kebakaran. FOTO Ghazali Kori

Ahmad Samsuri berkata, buat pemulaan, RM2,000 untuk pengurusan semasa dan perbincangan akan diadakan bersama penyewa atau pemilik bangunan bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

"Perkara ini tidak boleh di selesaikan dalam masa sekelip mata tetapi kita akan cuba bantu dan dalam masa saya difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sedang melakukan siasatan mereka untuk mengenal pasti punca kebakaran.

"Sebaik siasatan selesai, kita akan mengadakan perbincangan bersama JBPM untuk memberi penerangan, taklimat dan sebagainya perkara-perkara yang perlu kepada penduduk di kawasan ini

"Dalam masa sama, saya percaya kita akan tengok tempat-tempat lain yang mungkin suasana sebegini, kita akan cuba kenal pasti supaya tidak berlaku kejadian sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 11:59 AM