PULAU Tioman.
PULAU Tioman.
Asrol Awang

am@@bh.com.my

Kuantan: Pembukaan semula Pulau Tioman akan meningkatkan ekonomi penduduk pulau berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, ini kerana seramai 3,500 penduduk Pulau Tioman terjejas dari segi sumber pendapatan kesan penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu.

Katanya, dengan pengumuman pembukaan semula Pulau Tioman pada 1 Oktober ini, penduduk pulau peranginan itu menyambut baik keputusan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

"Pulau Tioman mempunyai tujuh kampung dan paling ramai di Kampung Tekek, Kampung Genting dan Kampung Paya.

"Boleh dikatakan tujuh kampung ini menjadi pilihan pelancong dan diharapkan kedatangan pelancong membantu merancakkan ekonomi penduduk.

"Pada masa sama, Pulau Tioman hanya boleh menerima kedatangan pelancongan dalam tempoh dua bulan kerana akan ditutup pada Disember hingga Februari depan kerana menghadapi musim tengkujuh.

"Oleh itu, tempoh dua bulan ini diharap dapat membantu sekali gus menghidup kembali pelancongan di Pulau Tioman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang meminta bukan sahaja pelancong, malah penduduk pulau peranginan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, setakat ini, pintu masuk ke Pulau Tioman hanya dibuka di jeti Tanjung Gemok, Rompin.

"Dengan pemantauan dan pemeriksaan ketat, kita minta hanya individu yang lengkap dua dos dan memenuhi syarat akan dibenarkan ke Pulau Tioman," katanya.

Selasa lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan tiga lokasi baharu pelancongan iaitu Pulau Tioman dan Genting Highlands di Pahang serta Bandaraya Melaka bakal dibuka kepada orang ramai mulai bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 2:19 PM