Tinjauan Gelembung Pelancongan Langkawi di Pantai Chenang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Tinjauan Gelembung Pelancongan Langkawi di Pantai Chenang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan boleh memperkenalkan sistem pengesahan status kesihatan bagi pelancong tempatan yang mahu berkunjung ke destinasi pelancongan.

Pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, sistem berkenaan boleh memastikan mereka yang pergi ke destinasi pelancongan bebas Covid-19 selepas menjalani saringan menerusi kit ujian pantas saliva.

Menurutnya, kaedah itu akan membolehkan lebih banyak destinasi pelancongan dibuka sekali gus melonjakkan semula industri.

"Menerusi kaedah pengesahan status, pelancong perlu menunjukkan status kesihatan selepas keputusan saliva negatif diperoleh.

"Ia boleh dianggap sebagai pas masuk untuk destinasi pelancongan dan penginapan bagi tempoh tiga hingga lima hari setiap kali ujian saringan saliva digunakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ia akan meningkatkan keyakinan kepada pemain industri pelancongan selain memastikan mereka yang berkunjung bebas Covid-19.

Katanya, keadaan ini membolehkan sektor ekonomi domestik kembali pulih namun dalam masa sama hanya pelancong yang status kesihatan sihat saja dibenarkan melancong.

"Rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab dan tidak culas dalam memastikan status saringan negatif sebelum bercuti.

"Ini ada sebahagian daripada normal baharu yang perlu diamalkan ketika menuju ke fasa endemik," katanya.

Sebelum ini beberapa lagi destinasi pelancongan seperti Melaka, Genting Highland sdan Pulau Tioman sepatutnya dibuka 1 Oktober ini.

Namun kerajaan negeri Melaka dan Pahang tidak bersedia membuka pintu untuk pelancong memandangkan kes Covid-19 masih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:18 PM