FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menilai semula keputusan untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 kepada pelancong yang memasuki Pulau Langkawi.

Timbalan Pengerusi, Biro Undang-Undang & ICT, Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Datuk Norazly Rosly berkata, pembatalan syarat itu berpotensi memberi impak negatif kepada komuniti setempat dan pemain industri pelancongan di pulau terbabit.

Katanya, bagi mengelakkan penularan pandemik, pihaknya berpendapat syarat itu perlu dikenakan kepada pelancong untuk kebaikan bersama.

"Kami tidak bersetuju dengan Langkah Pembatalan Keperluan Ujian Pengesanan Covid-19 bagi Pelancong ke Langkawi bagi mengelakkan penularan jangkitan yang tinggi di Pulau Langkawi.

"Kami berpendapat kejayaan gelembung pelancongan Langkawi juga adalah disebabkan kewajipan ujian pengesanan Covid-19," katanya.

Menurutnya, ujian pengesanan itu juga boleh meningkatkan tahap keyakinan pelancong, malah memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja sektor pelancongan.

Katanya, pembatalan ujian itu dikhuatiri akan menyebabkan tahap keyakinan orang ramai untuk melancong ke Langkawi akan menurun.

"Pengusaha industri perhotelan kini bimbang dan mohon kerajaan mengambil suatu langkah memastikan pelancong yang akan ke Pulau Langkawi wajib untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk mewajibkan semula ujian pengesanan," katanya.

Terdahulu, KKM membuat keputusan menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 kepada pelancong yang memasuki Pulau Langkawi pada 12 Oktober lalu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong yang mahu memasuki pulau peranginan itu digalakkan untuk menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.

Projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September lalu mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau itu.

Ujian pengesanan sama ada secara RT-PCR atau RTK-Antigen itu perlu dilakukan di fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:19 PM