PULAU Tioman. FOTO Arkib NSTP
PULAU Tioman. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Pulau Tioman bersedia menerima kedatangan pelancong selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula pulau peranginan itu bermula 1 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pada masa sama, pulau berkenaan hanya boleh menerima kedatangan pelancong dalam tempoh dua bulan sahaja.

Katanya, ini berikutan pulau peranginan itu akan ditutup selama tiga bulan bermula Disember depan kerana bakal menghadapi musim tengkujuh.

"Ini adalah peluang terbaik bagi penduduk Pulau Tioman untuk menarik kedatangan pelancong sepanjang tempoh dua bulan ini.

"Mereka mempunyai tempoh dua bulan sahaja untuk beroperasi sebelum musim tengkujuh kerana aktiviti pelancongan tidak dibenarkan dan akan kembali beroperasi pada Mac 2022," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Mohd Sharkar berkata, Pulau Tioman kini mencapai imuniti kelompok 100 peratus membabitkan 2,200 individu dewasa.

"Bagi memastikan pelancong mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kita mencadangkan pintu masuk ke Pulau Tioman di Tanjung Gemok, Rompin," katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan tiga lokasi baharu pelancongan iaitu Pulau Tioman dan Genting Highlands di Pahang serta Bandaraya Melaka bakal dibuka kepada orang ramai mulai bulan depan.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 7:26 PM