GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jumlah guru yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 semakin berkurangan selepas perjumpaan pada program penerangan dan kefahaman diadakan minggu lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, guru yang pada mulanya menolak untuk divaksinasi kini terbuka hati untuk menerima vaksin selepas program terbabit diadakan.

Bagaimanapun, katanya, data terkini baki guru masih berkeras menolak pengambilan vaksin masih belum diperoleh.

"Jumlahnya sudah ada pengurangan selepas pendedahan dilakukan dan mereka turut diberi penerangan serta kefahaman kepentingan vaksin Covid-19.

"Jumlah guru enggan mengambil vaksin sudah berkurangan dan tidak sampai 100 seperti dilaporkan Isnin lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isu keengganan guru mengambil vaksin dibincangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan mengakui isu keengganan guru mendapatkan suntikan vaksin memang berlaku.

Mengulas lanjut, Salim berkata, JPNT sentiasa memberi peluang kepada guru belum divaksin dan meminta mereka mendapatkan suntikan secara 'walk in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Mengulas persediaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini, Salim berkata, semua sekolah sudah melakukan persediaan bagi menyambut kehadiran semula pelajar.

Beliau berkata, dianggarkan 17,000 pelajar Tingkatan Lima dan 2,000 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini akan memulakan pembelajaran secara bersemuka nanti.

Menurutnya, ibu bapa yang keberatan membenarkan anak mereka ke sekolah secara fizikal diminta mengemukakan surat makluman untuk direkodkan pengurusan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 2:32 PM