Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini dimaklumkan seramai 26 guru di negeri itu enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri, Rozieana Ahmad berkata, jumlah itu daripada 206 orang yang sehingga kini masih belum divaksin.

"Pada mulanya 91 daripada 206 guru yang enggan menerima vaksin, namun setelah usaha perbincangan dilakukan, akhirnya 65 guru bersetuju untuk mengambil vaksin menjadikan 26 orang sahaja yang tegar, menyatakan belum bersedia.

"Kita tidak menolak wujudnya isu keengganan segelintir guru menerima vaksin ini dan sedang berusaha untuk semua pihak dapat bersedia dalam penerimaan vaksin ini terutama apabila sesi persekolahan dibuka nanti dan dalam masa sama, kita hendak memastikan keselamatan semua pihak.

"Guru adalah seseorang yang berkhidmat kepada masyarakat dan saya rasa guru yang enggan menerima vaksin ini perlulah menolak ke tepi kepentingan diri demi murid dan pelajar agar mereka dapat belajar dengan selamat dan tenang," katanya.

Rozieana berkata, Perlis mempunyai 4,710 guru dan 4,504 orang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Menurutnya lagi, kaunseling disediakan untuk guru yang belum divaksin mendapat penerangan lanjut kerana masing-masing mempunyai alasan berbeza termasuk soal kesihatan.

"Tidaklah mengatakan bahawa kesemua mereka ini 100 peratus menolak vaksin tetapi bagi yang mempunyai masalah kesihatan, boleh dapatkan nasihat doktor," katanya yang memberitahu menerusi kaunseling, ada antara penerima yang terlantar dan warga emas melebihi usia 100 tahun juga mengambil vaksin.

Kerajaan negeri berharap guru berkenaan memberi kerjasama yang baik sebelum sekolah dibuka untuk pembelajaran secara bersemuka kelak, bagi mengelak terdedah risiko jangkitan Covid-19.

Terdapat 104 sekolah menengah dan rendah di Perlis membabitkan 43,716 pelajar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:03 PM